Diam tak diam dah lebih setahun emas tu dalam simpanan kita, maklumlah nak dijual harga masih ditakuk lama, nak dipakai tak berani rasanya sejak peragut makin berani mengganggu ketenteraman hidup dikota mahupun desa. Jarang sangat dah kita lihat 'mami jarum' berlenggang kangkong kesana kemari pakai gelang sampai kelengan, kan? eerrmmm... tapi apa pun zakat tetap wajib dikeluarkan sebab ia salah satu dari rukun yang wajib atas setiap org Islam.
Bukan banyak pun cuma 2.5% je dari kadar uruf emas, pengalaman sayalah selalunya selepas keluarkan zakat pasti ada rezeki lain yang datang dari punca yg tidak disangka2 & yg bestnya mesti lebih dari apa yang telah saya keluar malah banyak kali jugak lepas niat nak keluarkan zakat mesti ada projek yang masuk....syukur sangat.
Ni ada sedikit soal jawap dari website zakat Selangor yea...
1. Saya mendengar sesetengah orang mengatakan bahawa, emas yang dipakai tidak wajib dizakatkan? Adakah ia benar?
Jawapannya, emas yang dipakai wajib dizakatkan. Namun begitu, ia dikira
berdasarkan kepada uruf (cara dan corak pemakaian emas setempat). Uruf pemakaian
emas di Selangor tidak sama dengan di Kelantan, kerana kaum wanita Kelantan
memang terkenal suka memakai banyak barang kemas. Jika emas yang dipakai itu
tidak mencapai kadar uruf, maka tidak wajib zakat ke atasnya. Di Selangor, kadar
uruf emas ialah 800 gram.
Kita boleh mengira sendiri zakat emas. Ambil semua emas yang dipakai dan
timbangkan, kemudian darabkan berat emas itu dengan harga emas semasa bagi
mendapatkan jumlah RM keseluruhan emas itu kemudian dibandingkan dengan harga
emas berdasarkan berat 800 gram tadi (uruf). Jika ia belebihan dari harga emas
800 gram, maka barulah diwajibkan zakat.
2. Saya menyimpan emas di rumah dalam bentuk jongkong dan ada juga
emas perhiasan yang sudah rosak dan tidak dipakai. Apakah emas itu wajib
dizakatkan?
Emas yang disimpan dalam bentuk apa sekali pun, adalah wajib dizakatkan
apabila ia melebihi berat asas nisab iaitu 85 gram. Caranya, ambil semua emas
itu dan timbang kemudian darabkan dengan harga emas semasa dan darabkan dengan
2.5 peratus bagi mendapatkan nilai zakat.
3. Jika seorang anak perempuan memakai emas perhiasan pada badannya,
adakah dia juga wajib dikenakan zakat?
Pertama, pastikan dahulu jumlah emas itu melebihi uruf. Kedua, menurut
pandangan ulama’ yang rajih hendaklah dizakatkan emas itu. Iaitu, dizakatkan
oleh wali atau penjaganya. Inilah pandangan di sisi Syafie dan Maliki. Bahkan
ada hadis yang jelas menyuruh agar penjaga harta anak-anak yatim agar
mengembangkan harta-harta itu agar tidak habis dimakan oleh zakat. Seperti mana
sabda rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menjadi wali anak yatim dan menjaga hartanya, maka hendaklah
dia berniaga untuknya, dan janganlah dia membiarkan harta itu begitu sahaja
sehingga ia habis dimakan oleh zakat,” (Hadis Abdullah bin Umar daripada
ad-Daruqutni)